Utusan Malaysia Online - Keluarga

ARKIB : 20/01/2008

Kamariah kongsi ilmu jahit manik


Kamariah.


“TERUS-terang saya katakan, kerja menjahit manik ini memang boleh buat duit,” ujar Kamariah Kamarudin dengan jujur.

Sambil tangannya laju menyiapkan tempahan yang tak putus-putus diterima, Kamariah atau lebih mesra dipanggil Kak Kay berkata, beliau bersyukur kerana kemahiran yang dimilikinya ini banyak membantu menjana pendapatan sampingan kepada keluarganya.

Menceritakan pengalaman awalnya terlibat dengan perniagaan ini, Kak Kay yang berasal dari Kelantan sememangnya berkemahiran dalam bidang jahitan. Menurutnya, kebanyakan ahli keluarga termasuk ibunya memang berkebolehan menjahit pakaian dan turut menerima tempahan.

Pada awalnya, Kak Kay hanya menjadikan kerja-kerja menjahit sebagai hobi dan pendapatan sampingan kerana masih bekerja di sebuah syarikat sebagai kerani.

Namun kerana ingin memberi tumpuan terhadap keluarga selepas berumah tangga, Kak Kay mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana ingin membesarkan anak-anak dengan tangan sendiri.

Kerana sudah terbiasa dengan kerja, ibu kepada lima orang anak berusia antara 12 hingga 29 tahun ini memang tidak pandai duduk diam. Berbekalkan kemahiran menjahit yang ada padanya, beliau mula melakukan kerja-kerja menjahit dengan mengambil upah secara kecil-kecilan daripada rakan dan saudara terdekat.

“Saya memang sibuk menguruskan anak-anak, tapi bila mereka sudah pergi ke sekolah saya jadi tak senang duduk pula. Dengan adanya kemahiran menjahit dapat juga pendapatan sampingan,” ujarnya.

Dari menjahit pakaian, Kak Kay beralih kepada jahitan manik kerana katanya ia lebih mencabar daya kreativitinya. Menurutnya, ketika itu, iaitu sekitar tahun 90-an tidak ramai yang menceburi bidang ini.

“Waktu itu fesyen tudung bermanik sangat popular. Jadi kakak mengambil upah menjahit tudung manik dari pembekalpembekal tudung,” katanya.

Seperti juga fesyen yang sentiasa berubah mengikut masa, begitu juga Kak Kay yang beralih dari jahitan manik di tudung kepada jahitan manik untuk baju. Sehingga hari ini hasil tangan beliau sangat diminati dan katanya, tidak menang tangan menyiapkan tempahan terutama menjelang musim perayaan dan juga majlis perkahwinan. Kebanyakannya dihantar oleh butik-butik terkenal dan juga pelanggan tetap. Sambil menunjukkan kepada penulis beberapa baju yang sedang disiapkannya, beliau berkata setiap hari mampu menyiapkan antara empat pasang baju kurung bagi jahitan mudah manakala ada yang mencecah berminggu-minggu bagi yang sarat sulaman manik.

Sebagai mengikut arus fesyen semasa, Kak Kay tidak pernah menyekat kreativiti dan sentiasa mencari idea terbaru bagi menghasilkan jahitan manik yang lebih eksklusif. Hasilnya, beliau turut menambah beberapa aksesori sampingan termasuk labuci, kristal dan pelbagai lagi.

Walaupun sangat berpengalaman dalam bidang jahitan manik, wanita ini ternyata seorang yang tidak kedekut ilmu dan tidak pernah lokek untuk berkongsi pengetahuan dengan sesiapa. Buktinya, sejak dua tahun yang lalu beliau ‘ligat’ menganjurkan kursus jahitan manik dan baru-baru ini menghasilkan video cakera padat (VCD) teknik menjahit manik untuk dikongsi bersama.

Katanya, beliau percaya dengan rezeki yang ditentukan Allah dan pengetahuan yang dikongsi bersama tidak akan berkurang malah semakin berkembang.

“Saya memang tidak pernah berahsia dengan teknik yang saya gunakan. Apa yang saya buat, itulah yang saya ajar kepada mereka yang mahu belajar,” ujarnya.

Selain kursus yang dianjurkan di hotel-hotel, Kak Kay turut mengadakan kursus ekspres di rumahnya bagi yang kurang berkemampuan. Katanya, beliau sedar ramai yang berminat untuk belajar menjahit manik namun tidak mampu menghadiri kursus berkaitan kerana bayaran yang mahal. Begitu juga dengan upah jahitan yang dikenakan amat berpatutan kerana katanya beliau ingin semua orang mampu untuk mengikut arus fesyen semasa.

“Saya sendiri tidak pernah belajar secara khusus. Bermula dari kemahiran menjahit, saya reka sendiri teknik-teknik mudah untuk menjahit manik dan hasilnya memang cukup memuaskan,” kata Kak Kay lagi.

Bagi yang ingin menghubungi Kak Kamariah, nombor telefonnya 017-3123386, 0193022543